Pilih estetika, praktikal dalam menata gaya perkakasan rumah ikut karakter diri

PERABOT adalah sebahagian elemen reka bentuk dalaman manakala dinding, lantai, siling, tingkap dan pintu merangka seni bina sesebuah ruang. Lazimnya, tugas memilih serta menyusun perabot dipertanggungjawabkan kepada juru reka dalaman.
Perabot juga adalah transisi skala ruang dalaman dan manusia, selain bersifat visual bagi pembentukan ruang. Bentuk, garisan, warna, jalinan dan skala setiap perabot berpotensi menghasilkan kualiti ekspresi sesuatu ruang. Dalam erti kata lain tanpa perabot, ruang nampak hambar dan seolah-olah tidak berfungsi.
Image result for sejarah perabot
perabotan kuno

  • Sejarah seni reka perabot

    KAJIAN mendapati perabot sudah digunakan manusia lebih dari 2,000 tahun lalu. Ketika itu, perabot diperbuat daripada batu batan dan kayu diukir serta simbol kekuasaan, kemewahan, keagamaan dan alam sekitar.

    Perkembangan pesatnya dipercayai bermula sejak zaman Renaissance. Disebabkan corak dan gaya kehidupan manusia berubah, maka pada abad pertengahan, reka bentuk perabot adalah kasar, mempunyai sedikit ukiran dan berfungsi paling dipentingkan. Namun, menjelang abad ke 20, reka bentuk perabot tidak lagi tradisional tetapi menjurus kepada bahan seni untuk dihargai.

    Suatu ketika dulu, pereka perabot berkarya hanya untuk kepentingan golongan Raja, bangsawan, pemilik tanah dan pedagang kaya saja. Namun, bermula zaman Renaissance hingga awal abad ke 19, wujud pembuat perabot kreatif dan berseni sekali gus disanjung tinggi.
    Ketika itu, ciri praktikal tidak dipentingkan sebaliknya keindahan ukiran diambil kira kerana melambangkan status dan taraf hidup seseorang.

    Perabot tradisional semakin hilang taring menjelang abad ke-20 berikutan bermulanya era pergerakan moden (modern movement). Zaman ini menyaksikan kebangkitan mesin, maka rekaan perabot dipastikan sesuai dengan kapasiti mesin itu.

    Pada 1919, arkitek Walter Gropius menubuhkan Bauhus School Bauhaus School di Weimer dengan objektif memperbaiki pengeluaran perabot membabitkan kerjasama artis, tukang perabot dan pengeluar perabot. Melaluinya, konsep rekaan berfungsi dan bertahan hingga kini.

    Ketika itu, material baru membuat perabot ditemui. Pada 1925, pereka Jerman terkenal Marcel Breuer menghasilkan kerusi keluli tebular pertama sebelum beberapa rekaan meja, kerusi dan bangku dicipta menggunakan gabungan keluli dan fabrik serta kayu dan kaca. Pada 1928, beliau menghasilkan kerusi Cantilever pertama dan sehingga kini teknologi itu diguna pakai.

    Perkembangan Modernism bermula dengan pereka dari negara Scandinavian, Itali, Amerika dan Britain melalui penghasilan perabot dengan fungsi. Konsep penjimatan ruang serta perabot ringkas mendapat permintaan tinggi.

    Selanjutnya, abad ke 21 menyaksikan kebangkitan perabot berkonsep simplicity. Gaya ringkas mendorong penghasilan perabot menjimat ruang dengan besi dan gelas sebagai material tunjang. Ia dipercayai sangat sesuai dengan gaya hidup ringkas penduduk kota metropolitan.
    perabotan modern
  • Pemilihan perabot

    KINI pilihan perabot berupaya menonjolkan hiasan dalaman kediaman individu. Tanpa sedar, perabot menjadi bahan seni lalu mendorong kita menetapkan nilainya. Membeli perabot dianggap pelaburan menyebabkan kualiti rekaan, pembikinan, fungsi, keselesaan bahkan ketahanannya diberi perhatian.

    Pemilihannya perlu seimbang dari segi kualiti estetika, fungsi serta nilai. Melalui pengamatan serta pemahaman tema, gaya bakal dipilih, latar belakang sejarah dan perkembangan teknologi inovatif pasaran, pengguna mendapat ilham memilih perabot sesuai kehendak dan konsep rumah.

    Urusan memilih perabot menjadi mudah apabila pembekal memperkenalkan konsep suai padan membabitkan tema, skim warna serta reka bentuk.

    Hakikatnya, beberapa perkara perlu dipertimbangkan ketika memilih perabot iaitu:
  • Kualiti

    Kualiti serta harga menentukan pilihan terbaik sekali gus menyebabkan anda memperoleh rekaan, bahan serta binaan yang elok nilainya. Pengetahuan mengenai bahan dan binaan membantu membuat keputusan tepat.
  • Jenis perabot dan ruang

    Penting bagi kita memahami jenis perabot sesuai ruang supaya aktiviti rutin berjalan lancar. Perbelanjaan dapat dijimatkan sekiranya perabot pelbagai guna diutamakan.
  • Faktor manusia

    Manusia adalah pengguna perabot maka setiap perabot direka mesti mengambil kira keperluan manusia. Antara keperluan utama perlu difikirkan ialah:
  • Fungsi

    Setiap perabot perlu berfungsi dengan sempurna dan memenuhi keperluan manusia. Jika ini gagal dipenuhi, maka perabot hanya akan berfungsi sebagai hiasan saja.
  • Ukuran antropometrik dan ergonomik

    Ukuran antropometrik adalah ukuran fizikal manusia termasuk ketinggian, berat dan isi padu. Sementara, ergonomik adalah kajian terhadap hubungan manusia dengan perabot yang memenuhi keadaan sekitarnya.

    The International Ergonomic Association menjelaskan ergonomik sebagai faktor manusia yang mengaitkan manusia dengan objek yang direkabentuk, sistem serta alam sekitar.

    Justeru, setiap ukuran perlu memenuhi kehendak manusia termasuk ciri selesa dan praktikal. Kesempurnaan ukuran tubuh manusia mengikut prinsip asas ergonomik berupaya menghindar ketidakselesaan seterusnya mengelakkan berlaku kecederaan.
  • Keselesaan
    Keselesaan dan fungsi lazimnya berkait rapat antara satu sama lain dan individu memperoleh keselesaan maksimum apabila perabot berfungsi sempurna. Sebolehnya, pengguna akan mendapatkan tahap keselesaan paling maksimum. Jika itu tidak diperoleh, jelas perabot berkenaan gagal berfungsi dengan baik.
  • Nilai Estetika
    Nilai estetika sesuatu perabot zaman moden bergantung kepada fungsi dan kualiti. Perabot cantik dari segi pembuatan berkadar dengan harga dan kualiti. Maka, tidak hairanlah ia mampu mencecah ribuan ringgit sekiranya dilihat mempunyai nilai estetika manakala bahan digunakan berkualiti tinggi.
  • Kos dan Harga
    Kos dan harga adalah penanda aras bagi semua produk yang dikomersialkan. Kos ditentukan melalui nilai bahan, pembuatan dan kos sampingan. Pengguna disyorkan bijak memilih perabot berbaloi dibeli dan ini membabitkan kualiti serta tempoh jangka hayat yang panjang.

    Kesimpulannya, perabot menyempurnakan hidup manusia maka pilihlah yang mampu berfungsi dengan baik. Antara keperluan fungsi wajib difikirkan ialah ia sebagai alat untuk berehat, membuat aktiviti rutin serta ruang penyimpanan barangan dan perkakas rumah, misalnya makanan, pakaian, kelengkapan menghidang, kelengkapan berdandan dan sebagainya. (sumber :berita harian)